KUALA LUMPUR, 20 Februari- Golongan wanita perlu lebih berani mengambil risiko, yakin dengan potensi diri, dan terus berusaha tanpa takut akan kegagalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam dunia era digital yang semakin pesat, bidang keusahawanan menuntut inovasi, daya saing yang tinggi, dan kecekapan dalam mengoptimumkan teknologi terkini bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan berkembang.
"Saya ingin melihat lebih ramai usahawan wanita tampil ke hadapan. Ingatlah, setiap langkah kecil adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
"Kini adalah masanya untuk kita melangkah dengan lebih yakin dan membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi peneraju kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Voices Of Her 2025 dan Malam Anugerah Ibu Zain 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Ibu Zain, yang mengiktiraf wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan, dan kesukarelawanan.
Antara penerima anugerah tersebut adalah legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol Ann David, yang menerima Anugerah Voices of H.E.R atas pencapaiannya dalam sukan dan pengaruhnya di peringkat global.
Penerima lain termasuk pelakon, Noor Neelofa Mohd Noor yang menerima Anugerah Wanita Inspirasi, dan atlet terjun kebangsaan, Datuk Pandelela Rinong, yang menerima Anugerah Wanita Kesukanan.