KEPALA BATAS, 11 Mei - Seorang wanita meninggal dunia akibat lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Jalan Lahar Kepar, Penaga, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Komander Mohamad Yazi Taib berkata, pihaknya menerima paggilan kira-kira pukul 7.39 pagi tadi.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Menurut Mohamad Yazi, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Perodua Alza terjunam di dasar sungai dan terdapat seorang mangsa wanita berusia 40 tahun berada di dalamnya.
Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 9.55 pagi.
Tambah Mohamad Yazi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat pada pukul 10.06 pagi.