SHAH ALAM, 23 Julai- Wanita kedua yang didakwa mirip bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman yang ditemui di Sentul, Kuala Lumpur semalam, disahkan bukan pembaca berita itu yang dilaporkan hilang sejak 20 November tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata hasil semakan identiti melalui cap jari wanita berkenaan mendapati dia bukan Orang Hilang (OH) yang dicari.
“Pihak polis Ibu Pejabat Daerah Shah Alam telah membawa wanita berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (UTC Shah Alam) dan hasil semakan mendapati wanita tersebut bukanlah OH yang dicari. Pengecaman oleh ahli keluarga juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Setakat ini dua wanita dikatakan mirip Zalina Shaharah, telah ditemui masing-masing di Shah Alam dan Sentul pada Rabu dan Jumaat.
Individu yang didakwa dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14, di sini disahkan seorang gelandangan manakala wanita yang ditemui di kawasan Jalan Haji Salleh, Sentul pada 6 petang pada Jumaat itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Mohd Iqbal berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk mencari OH dan sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia di talian 016-3375269.
(Rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman, di Shah Alam yang dilaporkan
hilang sejak hujung November tahun lalu/BERNAMA)
Polis percaya Zalina Shaharah, 58, masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.
Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.-BERNAMA
Berita berkaitan
Bekas pembaca tv hilang sejak tahun lepas, masih tidak dijumpai