KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Re patriasi penuh hasil eksport dan pelaburan perlu diwajibkan terhadap semua pengeksport dan pelabur warga tempatan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)
Itu antara beberapa pendekatan dicadang Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bagi pengukuhan semula mata wang ringgit.
"Yang kita lihat sekarang ini rata-rata GLC dan GLIC menyimpan duit di luar negara, ini tidak membantu negara kita, yang keduanya... Saya mencadangkan supaya lebih banyak pemeteraian perjanjian dedolarisasi yakni menggunakan mata wang ringgit dan mata wang lain untuk menyempuranakan transaksi dagangan," katanya di Dewan Rakyat di sini.
Selain itu kestabilan politik, sosioekonomi, monetary dan kewangan domestik juga penting bagi memastikan negara kekal destinasi pelaburan asing.
"Saya mencadangkan mengembalikan kedudukan malaysia antara destinasi pelancongan dunia dan saya cadangkan agar semakan semula Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 supaya dapat mengurang kebergantungan importasi bahan makanan sekaligus mengurangkan tekanan terhadap ringgit," katanya.
Dalam dewan sama Rodziah berkata kerajaan wajar mempertimbang pemberian subsidi yuran kepada ibu bapa kurang berkemampuan dan terpaksa menghantar anak ke tadika swasta bagi mengelak lebih ramai keciciran pelajaran.
Perkara itu memandangkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kawasan bandar tidak mencukupi menampung permintaan semasa.
