fb fb fb fb fb

Wakaf PPZ kini dikenali sebagai Wakaf Wilayah Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) - Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (tengah) ketika merasmikan penjenamaan semula Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Selasa. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan penjenamaan semula Wakaf PPZ yang kini dikenali sebagai Wakaf Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata penjenamaan semula itu merupakan langkah strategik bagi memastikan pengurusan wakaf lebih mudah dikenali, mempunyai fungsi yang jelas serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, penjenamaan berkenaan dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan peranan antara kutipan zakat dan pengurusan wakaf oleh PPZ-MAIWP.

“Terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap fungsi PPZ sebagai pemungut zakat dan juga pengurusan wakaf. Justeru, keputusan telah dibuat oleh lembaga pengarah PPZ-MAIWP untuk melaksanakan penjenamaan semula ini bagi memastikan peranan wakaf dapat difahami dengan lebih jelas dan tidak mengelirukan masyarakat,”.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penjenamaan Wakaf Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Dr. Mohd Na’im berkata penjenamaan semula itu turut mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha PPZ-MAIWP dan MAIWP dalam memodenkan pengurusan wakaf tunai di Malaysia, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 5 September lalu.

Nama baharu Wakaf Wilayah Persekutuan itu merangkumi penggunaan logo dan warna baharu serta penyeragaman identiti di semua platform media sosial, termasuk portal rasmi yang kini dikenali sebagai www.wakafwilayah.com.my.

Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan sumbangan wakaf tunai berjumlah lebih RM657,000 daripada 12 syarikat, antaranya Ramly Food Marketing Sdn. Bhd., Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Etiqa Family Takaful Berhad.

Sepanjang tempoh Januari hingga November lalu, PPZ-MAIWP berjaya mengutip wakaf tunai sebanyak lebih RM7.9 juta daripada 11,121 pewakaf, dengan 11 projek wakaf telah mencapai sasaran kutipan, manakala 35 projek lain dianggarkan memerlukan dana berjumlah RM413 juta.
 

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN