fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI salur 400 papan pintar kepada 387 SJKT

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (empat, kiri) menyampaikan Interactive Smart Board kepada Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Bangsar Theve Ramasamy (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Peralatan ICT (Smart Board) kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Vivekananda Brickfields hari ini.

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Sebanyak 387 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara dijadual menerima 400 unit papan pintar interaktif (smartboard) secara berperingkat bermula 20 Disember ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, berkata proses pengagihan papan pintar melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta tersebut dijangka selesai sebelum sesi persekolahan tahun 2026.

Inisiatif penyediaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkenaan disalurkan oleh Kerajaan MADANI menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Pemberian smartboard ini merupakan antara inisiatif di bawah dasar dan komitmen Kerajaan MADANI.

Melalui kemudahan ini, sekolah-sekolah SJKT bukan sahaja dilengkapi peralatan ICT, malah diperkasa sebagai hab pembelajaran digital bagi membentuk pemikiran kritis, kreativiti dan kecekapan teknologi dalam kalangan murid, selaras dengan aspirasi pendidikan negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Penyerahan Papan Pintar di SJKT Vivekananda, Brickfields yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah MITRA, G Prabagaran.

Menurut Datuk Seri Ramanan, pengagihan dibuat berdasarkan data rasmi Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan setiap sekolah yang mempunyai 800 murid dan ke bawah menerima satu unit, manakala sekolah yang mempunyai lebih daripada 800 murid menerima dua unit.

Beliau menambah, Kerajaan MADANI sebelum ini turut meluluskan peruntukan RM12.8 juta bagi kerja naik taraf peralatan, perabot dan penyelenggaraan di 305 SJKT, selain pelaksanaan Program Tuisyen Percuma Kalvi MADANI serta Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta berjumlah RM7.87 juta.

Secara keseluruhan, MITRA telah memperuntukkan RM33.67 juta atau kira-kira satu pertiga daripada jumlah peruntukan tahunannya bagi memperkukuh pendidikan awal dan rendah anak-anak masyarakat India.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI