fb fb fb fb fb

Wakaf MARA MADANI, geran peluncuran RM100 juta dilancar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

PUTRAJAYA, 2 Mac - Geran peluncuran RM100 juta Wakaf MARA MADANI dilancarkan bermula hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaannya bertujuan meringankan beban pembiayaan pendidikan bagi pelajar bumiputera menerusi hasil potongan cukai pewakaf.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu.

"Geran peluncuran RM100 juta dengan maksud dalam tempoh dua tahun terkumpul minima RM1 bilion.

"Sepertimana potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp kita bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai untuk maksud tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Tambah Anwar, pelaksanaan Wakaf MARA MADANI dijangka bakal memanfaatkan 70.1 peratus bumiputera dalam memastikan keterjaminan pendidikan golongan sasar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN