
PUTRAJAYA 6 April – Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) Kali Ke-2 hari ini bersetuju melanjutkan pelaksanaan VM2026 sehingga penghujung tahun
2027.
- Keputusan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan lanjut.
- Langkah bertujuan memperkuat promosi, menonjolkan Malaysia sebagai destinasi selamat, stabil dan berdaya saing.
- Konflik Asia Barat 28 Februari 2026 menjejaskan kestabilan serantau, mengurangkan ketibaan pelancong dan memberi impak kepada sektor pelancongan global.
- Jawatankuasa diterajui enam subjawatankuasa kementerian dan agensi bagi menyelaras program, pencapaian dan perancangan aktiviti VM2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta persetujuan selanjutnya.
“Keputusan ini diambil bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing, serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 berkata, langkah ini turut mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik yang tercetus pada 28 Februari 2026 di Asia Barat yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau serta menjejaskan sektor pelancongan global.
Tambahnya, unjuran menunjukkan ketibaan pelancong dari Asia Barat boleh merosot antara 11 peratus hingga 27 peratus dan kerugian mencecah USD 56 bilion sekaligus beri kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN.
“Konflik ini turut mengganggu laluan penerbangan antarabangsa serta meningkatkan kos perjalanan susulan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan. Keadaan ini juga menjejaskan keyakinan pelancong dan dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan global dalam jangka masa terdekat.
Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 Kali Ke-2 di Putrajaya bagi membincangkan serta meneliti perkara-perkara tersebut.
Mesyuarat ini turut dilaksanakan bagi menyelaras program dan aktiviti yang telah dilaksanakan serta merancang langkah-langkah bagi merancakkan kempen VM2026.
Sebagai salah satu agenda nasional, kempen ini menyasarkan peningkatan pendapatan pelancongan, memperkukuh daya saing Malaysia dalam industri pelancongan serta menjadikan sektor ini sebagai antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) negara.
“Jawatankuasa ini terdiri daripada enam jawatankuasa kerja yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan, dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan. Setiap kementerian dan agensi telah membentangkan pencapaian program serta perancangan aktiviti sempena kempen VM2026”.