fb fb fb fb fb

Vince McMahon letak jawatan Pengerusi Eksekutif TKO

Vince McMahon

LOS ANGELES, 27 Januari- Pengasas bersama World Wrestling Entertainment (WWE), Vince McMahon meletak jawatan pada Jumaat daripada peranannya sebagai Pengerusi Eksekutif TKO, kumpulan induk pro wrestling gergasi, selepas terlibat dengan dakwaan salah laku seksual.

Bekas staf WWE, Janel Grant mengemukakan saman terhadap syarikat itu, McMahon dan bekas ketua perhubungan bakat John Laurinaitis, dengan dakwaan serangan seksual, pemerdagangan dan penderaan emosi.

Grant memfailkan aduan itu pada Khamis di Mahkamah Connecticut dengan menuduh McMahon memaksanya menjalinkan hubungan seksual, berkongsi foto dan video eksplisit seksualnya dengan rakan sekerja lelaki.

McMahon menafikan kesemua dakwaan terhadapnya.

Menerusi satu kenyataan, McMahon mengumumkan peletakan jawatannya daripada lembaga pengarah Kumpulan TKO, yang turut mengawal jenama seni mempertahankan diri campuran Ultimate Fighting Championship (UFC).

"Saya berpegang pada kenyataan saya sebelum ini bahawa tuntutan mahkamah Cik Grant penuh dengan pembohongan, kejadian lucah yang dibuat-buat yang tidak pernah berlaku dan merupakan penyimpangan kebenaran yang penuh dendam.

"Saya berhasrat untuk mempertahankan diri saya terhadap tuduhan tidak berasas ini dan akan membersihkan nama saya," kata McMahon dalam satu kenyataan.

"Namun, kerana menghormati WWE Universe, perniagaan TKO dan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham, rakan kongsi dan konstituennya, serta semua pekerja dan Superstar yang membantu menjadikan WWE sebagai peneraju global seperti hari ini, saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada jawatan pengerusi eksekutif saya dan lembaga pengarah TKO, berkuat kuasa serta-merta,"katanya.

Selepas membeli Persekutuan Gusti Dunia (WWF) daripada bapanya pada tahun 1982, McMahon mengubah liga peringkat kedua menjadi sebuah gergasi hiburan.

Berubah menjadi WWE pada 2002, liga itu mencatat keuntungan berbilion dolar dalam jualan tahunan tahun lalu.

Selasa lalu, Netflix memeterai perjanjian penyiaran 10 tahun, AS$5 bilion dengan WWE.

Pada 2022, McMahon mencuri tumpuan apabila meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif WWE di tengah-tengah siasatan dalaman terhadap dakwaan dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang pekerja dan membayarnya AS$3 juta untuk merahsiakan perkara itu.

Anak perempuannya Stephanie McMahon dinamakan sebagai CEO sementara ketika siasatan diteruskan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE