(Tangkap layar video tular)
MUALLIM, 19 September- Video tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal awam dengan sebuah motosikal anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) merupakan insiden pada 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pelanggaran tersebut juga berlaku secara tidak sengaja.
Kejadian berkenaan membabitkan dua anggota URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim yang sedang menghala ke kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bersih, Slim Village selepas menerima maklumat berkaitan satu kemalangan jalan raya.
Semasa dalam perjalanan, anggota URB telah bertanyakan lokasi sebenar kemalangan kepada penduduk tempatan.
Ketika menghala ke tempat kejadian, sebuah motosikal ditunggang oleh penduduk kampung telah mengekori rapat dan secara tidak sengaja melanggar bahagian belakang motosikal polis.
"Pelanggaran tersebut tidak menyebabkan apa-apa kerosakan dan telah diselesaikan secara baik," katanya dalam kenyataan.
Semalam, pihaknya mengesan satu video pendek di media sosial dengan status 'Di saat rakyat dianiaya oleh pemimpin negara' serta 'Izinkan kami langgar apa yang ada depan mata'.
"Video terbabit mendapat banyak komen negatif daripada warganet. IPD Muallim ingin menjelaskan bahawa kejadian sebenar yang berlaku itu adalah pada 26 April lalu," katanya.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
(Tangkap layar video tular)