Veteran tentera terima RM200,000, lonjak keusahawanan

Majlis penyerahan dana padanan iTEKAD di Bangunan Perak Darul Ridzuan

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Dana padanan iTEKAD berjumlah RM200,000 diserahkan kepada veteran tentera bagi meluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menggalakkan keusahawanan menerusi Kerjaya Kedua Perwira.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana padanan iTEKAD RM200,000 disalurkan untuk luaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada veteran tentera.
  • Inisiatif sebahagian daripada Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 untuk bina veteran sebagai penggerak ekonomi.
  • 27 veteran di Perak terima geran BSN MulaNiaga bagi tingkatkan pengurusan kewangan dan kebolehan perniagaan.
  • Kerjasama dengan AKPK dan tiga bank menyediakan latihan, pembiayaan mikro dan sokongan ekonomi digital.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam kenyataan memaklumkan, ia merupakan inisiatif bawah Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 dengan dipacu sektor swasta selaras kerangka Ekonomi MADANI bagi membangunkan bakal pesara ATM dan veteran sebagai penggerak ekonomi serta tenaga kerja.

“Seramai 27 orang veteran tentera di sekitar Perak menerima manfaat padanan geran BSN MulaNiaga untuk membantu mereka meningkatkan pengurusan kewangan dan kepintaran perniagaan demi menjana pendapatan berterusan,” menurut kenyataan itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan penyerahan replika cek daripada Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah kepada Pengarah PERHEBAT Negeri Perak, Leftenan Azri Baharum TLDM (Bersara) mewakili Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Inisiatif itu turut mendapat kerjasama daripada Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai rakan pelaksana program khususnya dalam aspek bimbingan dan pengurusan kewangan.

Terdahulu, PERHEBAT memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga institusi perbankan iaitu Affin Islamic Bank, Bank Muamalat Malaysia dan Bank Simpanan Nasional dengan menyediakan inisiatif iTEKAD seperti dana zakat, pembiayaan mikro, latihan pengurusan perniagaan, ekonomi digital dan pemasaran atas talian.