UUM tubuh jabatan baharu, sasar 3,000 pelajar antarabangsa

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed/Foto RTM

SINTOK, 2 Februari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan seramai 3,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di institusi itu tahun ini menerusi penubuhan jabatan baharu, Jabatan Recruitment and Global Engagement.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Recruitment and Global Engagement ditubuhkan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, khususnya pascasiswazah.
  • Jabatan akan diisi kakitangan berkemahiran pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Arab dan Mandarin.
  • UUM akan buka Learning Centre di China dan Jeddah untuk kelas bahasa Inggeris sebelum pelajar melanjutkan pengajian.
  • Universiti catat kejayaan dalam THE Rankings by Subject dan terus jalankan program kebajikan serta aktiviti riadah bulanan.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, jabatan itu ditubuhkan bagi menarik pelajar antarabangsa, khususnya untuk program pascasiswazah.

“Apabila ranking kita bagus, universiti kita sebenarnya mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa datang dan belajar di UUM. Apa yang kita lakukan ini selari dengan hasrat dan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Penjawat Utama dan Amanat Tahun Baharu 2026 di sini.

Menurut beliau, jumlah pelajar antarabangsa di UUM kini seramai 1,919 orang pada tahun 2025 berbanding 2,469 orang pada tahun 2024.

“Jabatan tersebut akan disusun dengan kakitangan yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Arab dan Mandarin.

“UUM juga akan menubuhkan Learning Centre di China dan Jeddah, Arab Saudi dalam masa terdekat bagi menawarkan kelas bahasa Inggeris kepada penduduk tempatan sebelum melanjutkan pengajian ke UUM,” katanya.

Dalam pada itu, UUM turut mencatat pencapaian memberangsangkan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026 menerusi pusat pengajian undang-undang dan pendidikan.

Selain itu, UUM mewajibkan setiap jabatan atau pusat tanggungjawab melaksanakan aktiviti riadah pada satu hari Selasa setiap bulan bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental kakitangan.

UUM juga menaja yuran pengajian percuma kepada 388 pelajar daripada golongan B40 sebagai sebahagian usaha kebajikan pelajar.