SINTOK, 19 November - Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjak 114 anak tangga dalam QS World University Ranking: Sustainability 2026 apabila universiti itu kini berada di kedudukan 631 daripada 2,001 universiti di seluruh dunia.
QS World University Ranking: Sustainability 2026 menggunakan tiga kategori utama sebagai asas penilaian iaitu Impak Alam Sekitar, Impak Sosial, dan Tadbir Urus.
Dalam kategori Impak Sosial, UUM berada di kedudukan ke-611 berbanding 781 sebelum ini.
Bagi kategori Impak Alam Sekitar pula, universiti itu melonjak ke kedudukan ke-703 dengan peningkatan sebanyak 266 anak tangga.
UUM dalam kenyataan berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda kelestarian global sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif sosial universiti dalam memperkukuh kesaksamaan, keterangkuman, dan kesejahteraan komuniti kampus dan masyarakat.
"Kejayaan ini bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap usaha UUM tetapi juga satu tanggungjawab untuk terus memacu pembangunan mampan dan menyemai nilai kelestarian dalam kalangan staf dan pelajar. Dengan penarafan ini, UUM kini berada di landasan yang kukuh untuk memperteguh sumbangan terhadap pembangunan mampan melalui penyelidikan inovatif, pendidikan lestari, dan penglibatan komuniti.
"Universiti turut berhasrat memastikan generasi pelajar masa depan mendapat pendidikan yang mendalam mengenai kelestarian dan membawa perubahan positif," jelas kenyataan tersebut.
Penarafan QS World University Ranking: Sustainability 2026 merupakan platform penting untuk universiti di seluruh dunia mengukur impak mereka dalam menghadapi cabaran global.