Utamakan penghayatan Ramadan, elak keghairahan persiapan Aidilfitri

Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Mohd Shahid Mohd Noh

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Umat Islam disaran memberi keutamaan kepada penghayatan ibadah sepanjang Ramadan dan tidak terlalu ghairah membuat persiapan Aidilfitri sehingga menjejaskan keberkatan bulan mulia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan penghayatan ibadah sepanjang Ramadan, termasuk puasa, solat sunat dan qiamullail.
  • Jangan ghairah berlebihan sedia persiapan Aidilfitri sehingga mengabaikan ibadah wajib dan sunat.
  • Bersederhana berbelanja dan elak pembaziran supaya keberkatan Ramadan tidak terjejas.

Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata, Ramadan merupakan ‘lubuk emas’ bagi umat Islam melipatgandakan amalan seperti berpuasa, solat sunat dan qiamullail berbanding terlalu memikirkan sambutan Syawal.

“Setiap saat siang dan malam pada Ramadan adalah peluang untuk kita menghidupkan ibadah.

“Persiapan raya boleh dilakukan secara sederhana dan berperingkat, namun tidak wajar sehingga mengabaikan ibadah wajib dan sunat,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri hari ini.

Menurut Mohd Shahid, keghairahan berlebihan merancang sambutan raya termasuk persiapan ‘dahsyat’ seperti hiasan dan perbelanjaan melampau, boleh mengalih tumpuan daripada matlamat utama Ramadan iaitu meningkatkan ketakwaan.

“Berbelanja sekadar perlu dan rancang dengan bijak. Jangan sampai malam dihabiskan dengan membeli-belah hingga meninggalkan tarawih tanpa keuzuran. Itu satu kerugian,” katanya.

Beliau berharap umat Islam memanfaatkan sepenuhnya keberkatan Ramadan dengan memberi keutamaan kepada ibadah serta mengimbangi persiapan Aidilfitri secara berhemah agar tidak menjejaskan ganjaran yang dijanjikan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan supaya bersederhana ketika membeli juadah berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran yang boleh menjejaskan keberkatan Ramadan.