PAKAN, 13 September - Penganjuran Kembara Jumpa Orang Muda Zon Borneo 2.0 menekankan aspek kualiti pengalaman peserta berbanding kuantiti penyertaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, berbeza dengan penganjuran terdahulu yang menghimpunkan puluhan ribu orang, edisi kali ini memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman yang lebih menyeluruh serta interaksi yang lebih tulen bersama masyarakat.
”Kalau kita tengok daripada tahun lepas, 25 ribu orang peserta selalunya by instinct orang akan cakap gandakanlah jadi 50 ribu. Tapi, kita reverse, kita tak mahu melihat kepada kuantiti semata-mata kita mahu kualiti. Kita nak supaya ada pengalaman yang lebih immersive, interaksi yang lebih genuine”, katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup program tersebut di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong di sini, hari ini.
Tambah beliau, program yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan 60 peserta untuk tinggal bersama keluarga angkat, manakala sesi townhall berjaya menarik hampir 900 orang termasuk belia dan penduduk setempat.
Ujarnya, input yang diperoleh daripada perbincangan bersama belia Sarawak akan dijadikan panduan penting dalam merangka dasar pembangunan belia negara pada masa hadapan.
Belia Sarawak yang kini mencatat tahap kesejahteraan mental dan sosial tertinggi di negara ini mampu menjadi penanda aras kepada negeri lain dalam pembangunan belia.