fb fb fb fb fb

Utamakan adab dan akhlak dalam sistem pendidikan

Foto UIS

BANGI, 31 Oktober - Pendidik dan institusi pendidikan, terutama institusi pendidikan tinggi Islam, perlu meletakkan adab dan akhlak sebagai keutamaan dalam sistem dan proses pendidikan bagi melahirkan generasi berakhlak mulia seiring dengan ilmu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Hj. Abdullah, menekankan pentingnya mendahulukan adab dalam penyampaian ilmu bagi memartabatkan ilmu sebagai akhlak terbaik.

"Apatah lagi dengan fenomena semasa dalam media sosial yang begitu ketara hilang adabnya.

"Perkara ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakan orang berlumba-lumba untuk berkongsi buah fikiran atau 'kenyataan' dan seterusnya membiarkan pelbagai komen yang tidak beradab, saling memenuhi ruang sosial yang tidak terbatas dan sukar dikawal," kata Dr. Luqman pada majlis Usrah Perdana kali-3, di sini.

Usrah kali ini membawa tajuk 'Peranan Warga Universiti dalam menggangkat martabat ilmu dan akhlak'.

Menurut Dr. Luqman, walaupun teknologi dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat, usaha menghidupkan kembali pengajian tradisional seperti di Universiti Islam Selangor (UIS) wajar diteruskan.

"Ini kerana sistem pengajian tradisional yang menjadi nadi awal sistem pembelajaran dalam sejarah Pendidikan Islam dunia sangat mementingkan adab.

"Maka, peranan kakitangan akademik dan sokongan sangat besar bagi sebuah institusi untuk memimpin dan mentauladani adab dan akhlak kepada masyarakat secara holistik," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIS, Profesor Madya Dr. Zetty Nurzuliana Rashed, yang turut hadir dalam program tersebut, menegaskan bahawa pendidikan adab dan akhlak mahasiswa adalah keutamaan dalam proses tarbiah di UIS.

"Adab dan akhlak pensyarah dalam mendidik pelajar juga perlu diberi perhatian utama agar matlamat pendidikan berteraskan ta'dib dapat dicapai dengan penuh tanggungjawab, " kata Dr. Zetty Nurzuliana.

Beliau menambah bahawa usaha ini penting untuk membentuk generasi muda yang berintegriti serta bertamadun tinggi.

TETITIA YUSOFF