
PULAU PINANG, 23 Januari – Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan, Credentia, yang berperanan sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit.
Langkah ini selari dengan pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
- USM menubuhkan Credentia sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit untuk pendidikan fleksibel.
- Credentia menyelaras penganugerahan Malaysia Micro Credential Statement dan memudahkan pemindahan kredit universiti.
- USM mewujudkan Micro-Credential Bank System menyokong pengumpulan, penggabungan dan pemindahan kredit mikro.
- Sistem direka selaras dengan konsep Academic Bank of Credits, memudahkan mobiliti pembelajaran dan pengiktirafan terdahulu.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed, berkata sistem tersebut akan menyelaras penganugerahan Malaysia Micro Credential Statement (MMS) bagi memudahkan pemindahan kredit di peringkat universiti.
“Ini mencerminkan komitmen USM dalam menginstitusikan pendidikan fleksibel sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan nasional,” katanya.
Selain itu, USM turut mewujudkan Micro-Credential Bank System (MCCBS) sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit.
Sistem ini menyokong pengumpulan, penggabungan dan pemindahan kredit pentauliahan mikro ke arah kelayakan pendidikan yang lebih tinggi.
Sistem tersebut direka selaras dengan konsep Academic Bank of Credits (ABC) yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia membolehkan mobiliti pembelajaran, pengiktirafan pembelajaran terdahulu, serta menyediakan laluan pendidikan yang lebih fleksibel dan anjal bagi pelajar.
##Ends/Zatul**