fb fb fb fb fb

USJT Bukit Aman siasat kes serangan tiga pemain bola sepak

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 8 Mei- Siasatan kes serangan terhadap tiga pemain bola sepak kebangsaan iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tiga kes itu dikendalikan di peringkat kontinjen negeri sebelum ini.

Selain itu, USJT juga menyiasat ugutan yang didakwa diterima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon, bahawa dirinya bakal menerima nasib sama seperti Faisal Halim, iaitu menjadi mangsa simbahan asid.

Mohd Shuhaily menegaskan siasatan dibuat daripada semua sudut dan aspek, termasuk jika ia mempunyai kaitan dengan isu tohmahan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada bulan lepas.

"Kita lihat keseluruhan adakah berkaitan tohmahan kepada FAM sebulan lepas, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan tohmahan itu tidak berasas.

"Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM yang diluahkan kepada pemain kebangsaan," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman.

Setakat ini, siasatan mendapati tiga kes serangan itu berlaku selang dua hari dan tidak berkaitan antara satu sama lain walaupun menggunakan modus operasi sama iaitu melibatkan dua suspek yang akan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

Setakat ini polis masih menyiasat motif kejadian dan telah merakam keterangan 15 individu bagi ketiga-tiga kes termasuk ahli keluarga dan saksi kejadian.

"Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan selain laporan daripada pegawai bagaimana daripada kecederaan tahap dua (yang dialami mangsa) merebak ke tahap empat," katanya.

Sementara itu malam tadi, cermin belakang kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim pula dilaporkan pecah.

Ia disyaki dilakukan dua suspek yang membonceng sebuah motosikal di pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru.

Berkenaan akaun Instagram Muhammad Imran Suresh yang membuat kenyataan mengenai kejadian simbah asid ke atas Faisal Halim, Mohd Shuhaily berkata individu yang menggunakan akaun itu dilihat cuba mengganggu dan mencetuskan persepsi negatif berhubung kejadian berkenaan.

Bagaimanapun hasil semakan mendapati akaun itu adalah palsu.

Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pemilik media sosial berkenaan diburu susulan kenyataannya mengenai kejadian terbabit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI