
NILAI, 3 Mac – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah tersendiri apabila memperoleh penarafan 5 Bintang MyMoHES dengan jumlah keseluruhan 100 markah penuh buat kali pertama. Ia sekali gus menempatkan USIM dalam kelompok universiti awam berprestasi cemerlang di Malaysia.
- USIM terima pengiktirafan 5 Bintang MyMoHES menunjukkan komitmen kepada kecemerlangan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
- Pencapaian markah penuh mencerminkan kekuatan ekosistem akademik, penyelidikan berimpak dan tadbir urus berintegriti.
- Pengiktirafan memperkukuh misi USIM sebagai universiti pilihan utama menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
Naib Canselor USIM, Prof Dato Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, pencapaian ini mencerminkan kesungguhan seluruh warga universiti dalam merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Kejayaan memperoleh markah penuh dalam kesemua komponen penilaian membuktikan komitmen berterusan USIM dalam memperkasa ekosistem akademik, memperkukuh kualiti tenaga pengajar, memacu agenda penyelidikan berimpak serta memastikan tadbir urus institusi yang mantap dan berintegriti.
“Penarafan 5 Bintang ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah untuk USIM terus meningkatkan standard kualiti pendidikan tinggi, memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi dan melahirkan graduan holistik serta berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, pencapaian itu selari dengan Pelan Strategik USIM yang memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik, pemerkasaan bakat, inovasi penyelidikan dan jaringan strategik industri.
Kejayaan ini turut membuktikan bahawa USIM bukan sahaja kompetitif dalam kalangan universiti awam, malah berupaya mencapai standard penilaian tertinggi di peringkat nasional.
Dengan pengiktirafan 5 Bintang, USIM akan terus komited untuk memperkasa peranannya sebagai universiti pilihan utama yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah dan negara.
MyMoHES ialah sistem penarafan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menilai tahap kesiapsiagaan, tadbir urus, kualiti pengurusan serta prestasi institusi pendidikan tinggi berdasarkan beberapa dimensi utama seperti pelajar, staf, penyelidikan dan inovasi serta sumbangan institusi.
Penarafan 5 Bintang lazimnya menunjukkan tahap kecemerlangan menyeluruh dan prestasi yang konsisten pada tahap tertinggi.