fb fb fb fb fb

Usahawan perlu timba ilmu baharu bagi tambah baik produk

Foto RTM

KOTA SAMARAHAN, 26 Jun -Usahawan dan bakal usahawan di Sarawak perlu menimba ilmu baharu berkaitan keusahawanan serta mendapatkan maklumat berkaitan bantuan disediakan kerajaan negeri dan persekutuan bagi menambah baik produk dan servis ditawarkan mereka.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, menerusi ilmu baharu, usahawan dapat membuka peluang pekerjaan seterusnya mengurangkan pencari kerja terutamanya dalam kalangan belia pada masa akan datang.

Pelbagai inisiatif membantu usahawan turut disediakan agensi-agensi di Sarawak dan Persekutuan yang berbentuk modal pusingan perniagaan, akses pasaran, infrastruktur bengkel, peralatan dan mesin.

“Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ingin lahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan masyarakat Sarawak.

"Usahawan yang berdaya saing dan maju, yang sudah pasti akan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat kita, keluarga dan individu yang melaksanakan keusahawanan", ucapnya semasa merasmikan Seminar Asas Pembangunan Produk (SAPPS) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Institut Latihan Perindustrian, Kota Samarahan.

Seramai 550 usahawan di seluruh Sarawak menerima manfaat menerusi seminar berkenaan yang diadakan di Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Seminar kolaborasi agensi-agensi keusahawanan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 bermula 24 hingga 30 Jun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD