fb fb fb fb fb

Usahawan kraf batik meningkat, bantu lonjakkan ekonomi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berjaya merekodkan peningkatan sejumlah 820 usahawan kraf batik yang berdaftar berbanding 797 usahawan pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli berkata ia membuktikan komitmen kerajaan bagi membantu melonjakkan ekonomi komuniti itu, sekali gus merancakkan lagi industri kraf batik tempatan.

"Kita melihat impaknya daripada segi peningkatan bilangan usahawan.

"Kita juga mewujudkan lebih ramai komuniti dalam bidang kraf khususnya dalam bidang batik melalui inisiatif yang ditawarkan di bawah kraftangan Malaysia contohnya program pembangunan kemahiran komuniti yang mana kita memberi kemahiran kepada komuniti setempat untuk menghasilkan produk kraf.

"Kita menawarkan pelbagai inisiatif, kita melaksanakan bermula daripada pembangunan produk, juga daripada segi rekaan di mana pereka-pereka dalaman Kraftangan Malaysia menyediakan rekaan-rekaan baharu dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di sini.

Jelasnya, lebih 100 pengusaha kraf batik dan pempamer industri turut serta menjayakan sambutan tahun ini.

Lebih istimewa, program Jualan Rahmah Batik dan jualan kraf batik dengan tawaran harga mampu milik dijangka menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus menepati sasaran RM1 juta nilai jualan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM