LANGKAWI, 16 Januari - Kerajaan melahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam kerja dan persediaan menjelang Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) pada 18 dan 19 Januari, di sini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan acara pertama yang menandakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mencerminkan konsep pendekatan keseluruhan kerajaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid, serta semua yang terlibat termasuk daripada Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Langkawi, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam. Semua pihak berganding bahu dengan baik,” katanya.
Shamsul Azri, yang tiba di Langkawi pada Khamis untuk meninjau persiapan bagi Permukiman AMM berkata perancangan untuk acara itu berjalan lancar setakat ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelepasan 30 kereta e-hailing daripada tiga syarikat korporat iaitu Grab Malaysia, MyCar dan RODEO yang turut mengambil bahagian dalam mempromosikan Kepengerusian Malaysia di Kompleks Lang Merah.
Mengenai penglibatan syarikat korporat, Shamsul Azri melahirkan penghargaan terhadap usaha murni mereka dalam meraikan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.