fb fb fb fb fb

Usaha menyebarluaskan perayaan Thaipusam dipergiat, tarik kunjungan pelancong

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

BATU CAVES, 25 Januari - Kementerian Digital akan berusaha menyebarluaskan sambutan perayaan Thaipusam di negara ini ke seluruh dunia menerusi platform digital bagi memastikan pelancong berpeluang merasai sendiri pengalaman merayakan festival terbesar itu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata ia dilihat berpotensi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini pada masa akan datang.

Beliau berkata, ini dibuktikan dengan kehadiran lebih dua juta pengunjung yang memeriahkan sambutan perayaan itu, hari ini.

"Dari sudut pendigitalan, apa yang penting kita memastikan bahawa kita boleh membawa ke seluruh dunia nilai sebenarnya yang kita dapat lihat menerusi perayaan Thaipusam ini.

"Itu satu perkara yang kita akan uruskan melalui kementerian saya bagaimana kita boleh pastikan bahawa maklumat yang kita ada ini khususnya dalam visual dan sebagainya dapat disalurkan ke serata dunia," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa kunjungannya bersempena perayaan Thaipusam, di sini.

Tambah Gobind, perayaan tersebut merupakan simbolik kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN