Usaha gubal semula RUU Penubuhan SKRN digerakkan

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang/Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 7 April – Usaha menggubal semula Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penubuhan Suruhannjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN) akan digerakkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan baharu menekankan pendekatan pencegahan dan pendamaian berbanding tindakan hukuman.
  • SKRN dijangka menyiasat isu keharmonian, memanggil pihak memberi keterangan serta mengemukakan syor tindakan dan pencegahan kepada kerajaan.
  • JPNIN telah memulakan libat urus inklusif dengan agensi kerajaan, penguatkuasa, NGO, parti politik dan komuniti setempat.
  • Cadangan SKRN sebelum ini ditangguh kerana pertindihan kuasa dengan SUHAKAM dan PDRM; kerajaan 2020 memutuskan tidak meneruskan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan menegaskan, usaha itu mengambil kira perkembangan semasa serta peningkatan polemik berkaitan perpaduan yang menggugat keharmonian masyarakat sejak kebelakangan ini.

Cadangan baharu ini akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian, bukan semata-mata tindakan hukuman.

Pendekatan ini merangkumi usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian konflik secara harmoni dan konstruktif.

“Langkah ini juga selaras dengan amalan antarabangsa seperti Maintenance of Religious Harmony Act (MHRA) di Singapura, selain mengambil inspirasi daripada Australian Human Rights Commission (AHRC) serta National Peace and Reconciliation Commission (NPRC) di Zimbabwe.

“Ia juga dijangka berperanan menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan memberi keterangan, serta mengemukakan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan,” katanya.

Selain itu, suruhanjaya tersebut turut dijangka mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam, tertakluk kepada kepentingan keselamatan negara.

Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak sejak awal April.

Sesi ini akan diteruskan secara inklusif dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, komuniti setempat serta pemegang taruh berkaitan.

Terdahulu, pada tahun 2015, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) telah menyediakan tiga draf Rang Undang-Undang (RUU).

Ia melibatkan RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, serta RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN).

Bagaimanapun, pada tahun 2019, dua daripada cadangan tersebut tidak diteruskan.

RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama ditolak kerana bertindih dengan undang-undang sedia ada dan dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan.

Sementara itu, RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional juga tidak diteruskan kerana prinsip larangan diskriminasi telah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan penubuhan SKRN pula pada asasnya telah dipersetujui, namun pelaksanaannya tertangguh.

Ini berikutan pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada April 2020, kerajaan memutuskan agar cadangan tersebut tidak diteruskan.