Usaha diplomatik Malaysia–Indonesia berpotensi kukuhkan kestabilan Serantau

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Sdn Bhd, Dr. Carmelo Ferlito / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 MAC – Usaha Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh diplomasi bagi meredakan ketegangan di Asia Barat berpotensi memberi impak positif terhadap kestabilan ekonomi serantau dan keselamatan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Indonesia boleh memanfaatkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan dunia Islam untuk memberi pengaruh dalam penyelesaian konflik.
  • Kesepakatan dua negara boleh menjadi asas bagi ASEAN memperkukuh peranan geopolitik dan bertindak bersama menghadapi cabaran global.
  • Pemimpin kedua negara bersetuju mempergiat diplomasi untuk meredakan konflik, melindungi nyawa awam dan membuka rundingan penyelesaian aman.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Sdn Bhd, Dr. Carmelo Ferlito berpandangan, hubungan diplomatik dan ekonomi yang baik dengan Amerika Syarikat serta kepentingan kedua-dua negara dalam dunia Islam, boleh dimanfaatkan sebagai pengaruh dalam menangani konflik yang masih berterusan.

Jelasnya, kesepakatan untuk mencari penyelesaian bersama juga merupakan langkah yang signifikan dalam menjamin kesejahteraan dan keamanan di rantau ini.

“Malaysia dan Indonesia yang kerap dilihat sebagai pesaing kini menghadapi cabaran global yang lebih besar secara bersama.

“Memandangkan ASEAN sebagai entiti yang sedang bergelut untuk mencari suara bersama pada saat kritikal ini, tindakan Malaysia dan Indonesia untuk duduk bersama bukan hanya satu permulaan bagi hubungan dua hala yang lebih mendalam, malah boleh menjadi asas penting bagi ASEAN untuk memperkukuh peranan sebagai pemain geopolitik global,” katanya kepada RTM.

Beliau yakin, hubungan diplomatik yang lebih utuh akan membuka ruang kerjasama yang lebih baik termasuk dalam sektor tenaga, hubungan industri dan pertukaran tenaga kerja antara kedua-dua negara.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto dalam lawatan khas ke Jakarta, Indonesia bagi membincangkan perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala Malaysia–Indonesia.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, kedua-dua pemimpin sepakat mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, melindungi nyawa awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.