Usaha diplomasi, pendirian tegas Malaysia wajar diberi kredit

Malaysia antara negara yang berani menyuarakan pendirian tegas dalam isu geopolitik dunia/Foto RTM

JOHOR BAHRU, 5 April – Usaha diplomasi serta pendirian tegas Malaysia dalam isu melibatkan Iran dan konflik Gaza wajar diberi kredit, bukan dipertikai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
  • Pendekatan itu memperkukuh hubungan diplomatik dan membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz.
  • Anwar menyeru pembangkang mengiktiraf usaha diplomasi kerajaan.
  • Tindakan selaras dasar reformasi, menampilkan Malaysia sebagai suara tegas dalam isu geopolitik dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian tegas kerajaan termasuk membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran telah memperkukuh hubungan diplomatik negara, sekali gus membolehkan kapal Malaysia dibenar melalui Selat Hormuz.

“Malaysia antara negara yang lantang menyuarakan pendirian terhadap konflik Iran, dan menyifatkan pembangkang seharusnya mengiktiraf usaha tersebut.

“Senang hendak pujuk Presiden Iran bagi laluan Selat Hormuz? Ini semua saya tak katakan kerajaan dulu tidak baik dengan Iran, tetapi tidak sepertimana yang kita ada sekarang.

“Kita boleh telefon berulang kali, kita boleh usulkan di Parlimen bantah serangan Israel dan Amerika Syarikat, berapa negara di dunia yang buat kenyataan setegas itu. Malaysia laksanakan dalam soal perang Iran, berilah sedikit kredit,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor 2026, di sini.

Datuk Seri Anwar turut menyatakan tindakan itu, sekali gus mencerminkan dasar dan prinsip reformasi yang dipegang, sehingga Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang berani menyuarakan pendirian tegas dalam isu geopolitik dunia.