fb fb fb fb fb

UPSR kekal tidak dikembalikan, KPM fokus Kurikulum Baharu Persekolahan 2027

Foto Hiasan

NIBONG TEBAL, 29 Oktober - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan semula walaupun terdapat permintaan khusus daripada ibu bapa yang mahu UPSR dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian di peringkat sekolah rendah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini akan memberi tumpuan kepada Pelaksanaan Kurikulum Baharu Persekolahan 2027 dalam memastikan pendidikan pada masa hadapan lebih kukuh.

"Oleh itu, saya minta supaya ibu bapa bagi tumpuan kepada jerayawara ini iaitu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk input-input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

"Sekarang ini, kita nak bagi tumpuan kepada pentaksiran holistik untuk anak-anak kita khususnya untuk pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya, karakter (anak-anak) itu boleh diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini pada Sabtu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN