
TANJONG MALIM, 25 Februari -Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Proton Holdings Berhad (PROTON) bagi meneroka kerjasama strategik mempromosikan ekosistem pengetahuan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan teknologi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di negara ini.
- UPSI dan PROTON berbincang kerjasama strategik memperkasa ekosistem BEV dan teknologi NEV melalui pendidikan dan latihan.
- Cadangan utama termasuk Pusat Pembelajaran dan Demonstrasi EV, modul pendidikan BEV, serta Proton Training Center di UPSI.
- Inisiatif Industry in Campus, program upskilling/reskilling dan kempen kesedaran masyarakat untuk sokong transformasi mobiliti elektrik.
Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff berkata pertemuan itu memfokuskan potensi sinergi antara industri automotif nasional dan institusi pendidikan tinggi, selaras komitmen universiti mengintegrasikan teknologi hijau dalam kurikulum serta ekosistem kampus.
“UPSI melihat kunjungan ini sebagai langkah signifikan merapatkan jurang antara industri dan akademia. Teknologi BEV dan NEV bukan lagi pilihan masa depan, tetapi keperluan semasa yang perlu difahami serta dikuasai generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata antara cadangan utama yang dibincangkan ialah mewujudkan Pusat Pembelajaran dan Demonstrasi EV pertama di institusi pendidikan tinggi Malaysia, pembangunan modul pendidikan asas BEV, penyediaan latihan praktikal berkaitan teknologi e.MAS serta peningkatan kesedaran awam terhadap teknologi BEV nasional.
Md Amin berkata, universiti itu komited melahirkan graduan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran bersifat praktikal dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa berkata institusi pendidikan tinggi berpotensi menjadi rakan strategik penting dalam mempercepat pembangunan ekosistem mobiliti elektrik negara.
Menurut beliau, pendekatan kolaboratif antara industri dan universiti mampu melahirkan tenaga kerja lebih bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi global.
“Transformasi industri automotif ke arah BEV memerlukan sokongan kukuh sektor pendidikan. Kerjasama dengan UPSI mencerminkan komitmen PROTON bukan sahaja membangunkan teknologi, tetapi turut memperkasa ilmu dan kefahaman masyarakat terhadap kenderaan elektrik,” ujarnya
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan mewujudkan konsep Industry in Campus dan Proton Training Center @ UPSI sebagai platform kolaborasi jangka panjang.
“Kami percaya pendekatan Industry in Campus ini akan membuka ruang pembelajaran baharu, memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyokong aspirasi negara dalam memperkasa teknologi hijau dan mobiliti masa depan,” tegasnya.
Antara pengisian kerjasama yang dicadangkan termasuk pembangunan zon pameran dan promosi teknologi e.MAS (tech-showcase), penubuhan EV Community Awareness and Learning Center, pelaksanaan program Training of Trainers oleh felo perunding PROTON melibatkan aspek keselamatan, diagnostik dan perkhidmatan selepas jualan, serta penubuhan pusat latihan bagi program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
Turut hadir Ketua Pegawai Sumber Manusia PROTON, Dr. Kasuma Satria; Timbalan CEO Automotif High-Tech Valley (AHTV) Khalid Yusoff; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril serta Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI Prof, Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain.