TANJUNG MALIM, 26 Januari- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menjadikan bahasa asing sebagai elemen wajib untuk subjek elektif terbuka yang perlu dipenuhi pelajar sarjana muda mulai sesi akademik 2023/2024.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli berkata ia merupakan perubahan struktur program akademik yang dibuat secara besar-besaran dalam mencapai Agenda Pemerkasaan UPSI.
Beliau berkata, antara bahasa yang ditawarkan adalah Bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun, Iban, Kadazan-Dusun, Sepanyol dan Tamil.
Katanya, setiap bahasa asing ditawarkan dengan tiga tahap dan pelajar wajib mengikuti ketiga-tiga tahap tersebut sepanjang pengajian di universiti.
"Dengan penguasaan bahasa baru yang memerlukan pemahaman yang mendalam tentang struktur bahasa dan tata bahasa, ini juga akan meningkatkan kemampuan pemikiran analitikal dan intelektual mahasiswa apabila mula meneroka bidang pekerjaan kelak," katanya.
Dr Abdul Rahim berkata langkah itu selari dengan usaha tenaga pengajar di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) yang berjaya menghasilkan Sound and Vocabularies Kit (SOVO Kit) pada 20 Julai 2022.
Jelasnya, aplikasi itu dapat membantu pelajar dalam menguasai kosa kata dan sebutan dalam bahasa asing pada peringkat asas dan seterusnya akan dibangunkan secara berperingkat dalam bentuk frasa dan ayat.
Sehingga kini FBK menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Bahasa Kadazan- Dusun dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Iban.