PUTRAJAYA, 18 April - Seramai 28,531 calon daripada hampir 231,000 calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatat keputusan cemerlang A dalam semua lapan mata pelajaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebanyak 88 peratus calon mencatat lulus keseluruhan, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK tahun 2023 menunjukkan peningkatan iaitu 1.89 berbanding 1.99 pada tahun 2022.
"Secara umumnya untuk maklumat am bagi calon yang berdaftar seramai 233,776 calon telah mendaftar bagi menduduki UPKK tahun 2023 bertempat di 6,173 pusat peperiksaan. Manakala calon yang hadir sejumlah 230,587 calon telah hadir untuk menduduki UPKK tahun 2023," kata Dr Na'im, di sini.
Tambahnya, sebanyak lapan mata pelajaran terlibat iaitu Bidang al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab; Jawi dan Khat; Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam; serta Amali Solat.
Selain itu, seramai hampir 19,500 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pengoperasian pemeriksaan dari semasa ke semasa.
Dr Na'im juga menyatakan harapannya agar kesemua pelajar yang mengikuti kelas KAFA akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang.