fb fb fb fb fb

UPKK: 1,889 calon di Negeri Sembilan peroleh 8A

Senator Dr. Zulkifli meraikan kejayaan pelajar cemerlang UPKK di Sekolah Rendah Islam (SRI) di sini, hari ini.

SEREMBAN, 18 April- Seramai 1,889 calon daripada 11,172 calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 di Negeri Sembilan memperoleh keputusan Cemerlang (A) bagi semua lapan mata pelajaran.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Indeks Purata Negeri mencatatkan 1.77 berbanding 1.88 pada tahun 2022.

"Secara keseluruhannya adalah begitu membanggakan dan yang ingin saya kongsikan di sini ialah bagaimana kerjasama di antara ibu bapa,guru-guru dan anak anak dapat melahirkan satu ekosistem yang baik dan akhirnya dapat melahirkan pelajar yang seimbang dan cemerlang dalam ujian UPKK," katanya.

Beliau menyatakannya ketika meraikan kejayaan pelajar di Sekolah Rendah Islam (SRI) di sini, hari ini.

Seramai 27 pelajar di Sekolah SRI Seremban dan 13 pelajar di Sekolah SRI Seremban cawangan Nilai memperolehi 8A dalam peperiksaan UPKK.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran.

ZEHRA BINTI ZAMBRI