fb fb fb fb fb

Untuk rakyat, kerajaan perkenal dua pakej telekomunikasi lebih murah

(Foto fail/FB Fahmi Fadzil)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos –Sebagai penghargaan kepada rakyat, selain usaha merapatkan jurang digital, dua pakej telekomunikasi lebih murah diperkenal iaitu Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memaklumkan pakej tersebut yang diperkenalkan sempena Bulan Kebangsaan merupakan pakej perkhidmatan internet yang lebih murah berbanding yang tersedia dalam pasaran.

“Pakej 5G RAHMAH ialah pakej telefon pintar 5G pelan data (device bundle) dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan. Pakej ini terbuka untuk dilanggan oleh seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120. 

“Pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini turut menawarkan tempoh waranti 2 tahun berbanding hanya setahun sebelum ini,” kata Fahmi.

Sebagai menghargai penjawat awam, Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam turut diperkenalkan dengan pemberian rebat RM10 sebulan dan terpakai untuk mana-mana pakej postpaid sedia ada.

“Ini bermakna, penjawat awam mendapat manfaat penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun. Pakej ini juga akan berkuat-kuasa bermula 31 Ogos 2023,” menurut kenyataan sama.

Jelas Fahmi, ke dua-dua pakej itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat serta dua (2) syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.

“Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha merapatkan jurang digital serta memastikan rakyat mendapat internet berkualiti pada harga berpatutan,” kata Fahmi yang turut memperjelaskan langkah itu selari dengan visi dan kerangka Ekonomi MADANI yang turut memberi fokus kepada inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil/Foto BERNAMA)

Media Baharu