KUALA LUMPUR, 7 Jun- Satu kertas siasatan akan dibuka oleh Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Cyberjaya susulan aduan berhubung kelewatan pembayaran gaji selama dua bulan oleh sebuah universiti swasta di Cyberjaya kepada 93 kakitangannya .
Kementerian Sumbar Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan memaklumkan tindakan siasatan dilakukan setelah mendapati aduan diterima berasas.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 iaitu kesalahan kelewatan bayaran gaji ke atas universiti tersebut.
Pihak pengurusan universiti mengakui mereka kini berdepan dengan krisis kewangan yang menyebabkan kelewatan bayaran gaji pada April dan Mei.
"Beberapa pekerja juga telah berhenti tanpa meninggalkan maklumat lengkap sekali gus menyukarkan pihak universiti menguruskan isu berkenaan dengan cepat selain pengurus pentadbiran dan kewangan juga baru dilantik," kata kenyataan itu.
Pegawai penyiasat telah mengeluarkan saman hadir kepada pengurusan universiti untuk hadir ke PTK Cyberjaya bagi memberikan keterangan lebih lanjut dan mengemukakan dokumen lengkap.
Pengadu juga diminta hadir ke PTK sama untuk memfailkan kes buruh seperti mana prosedur kehendak Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pegawai buruh mengeluarkan perintah ke atas majikan.