PUTRAJAYA, 23 April- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berjaya mengekalkan pengiktirafannya sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga tahun 2027.
UNITEN menerusi kenyataan berkata status swaakreditasi ini melayakkan UNITEN mengakredit programnya sendiri kecuali program yang memerlukan akreditasi dan pengiktirafan badan profesional yang berkaitan.
"Pengiktirafan pengekalan status swaakreditasi itu diberi berikutan audit pematuhan MQA yang telah dijalankan pada Ogos 2023 yang lalu.
"Ianya menilai kekuatan perlaksanaan jaminan kualiti dalaman universiti", menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata kejayaan tersebut adalah berkat kerjasama dari anggota kerja, pelajar, alumni serta semua pemegang taruh yang terlibat menyokong UNITEN.
"Kami berharap pencapaian UNITEN ini dapat meningkatkan kualiti graduan serta kepercayaan pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Ianya juga adalah sumbangan kepada tahap kualiti pendidikan di Malaysia", katanya.
Penyerahan kad laporan status swaakreditasi UNITEN di program libat urus MQA bersama institusi pengajiaan tinggi (IPT) swaakreditasi di laksanakan pada 20 April 2024 lalu.
Majlis tersebut dimulakan dengan ucaptama dari Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Dato' Dr Mohammad Shatar Sabran.
Turut hadir Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Izham Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kemajuan Kualiti (QAC) Prof Dr Hanim Salleh, Dekan Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd) Prof Dr Rosmiza Mokhtar dan Pengarah Centre for Academic Advancement and Flexible Learning (CAFEL) Dr Jehana Ermy Jamaluddin.