fb fb fb fb fb

UniSZA siap siaga hadapi banjir

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 19 November- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Profesor Ts Dr Shukor Abd Razak berkata UniSZA telah menggerakkan Jawatankuasa Task Force Banjir untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di dalam kampus mahupun luar kampus sekiranya terjejas banjir.

"UniSZA akan bertindak pantas membantu memindahkan pelajar yang terlibat banjir ke asrama yang telah disediakan di kampus Gong Badak, Kuala Nerus dan di Tembila, Besut, bermula hari ini.

"Kita juga telah bersedia daripada segi logistik seperti lori, bot dan kenderaan berat serta bekalan makanan yang cukup sekiranya berlaku bencana banjir.

"Setakat ini, tiada lagi laporan banjir oleh pelajar diterima dan keadaan di kedua-dua kampus masih dalam keadaan baik.

"Pihak UniSZA telah membuat hebahan kepada semua pelajar di dalam mahupun luar kampus untuk melaporkan dan memberi maklumat segera sekiranya berhadapan dengan situasi banjir.

"Universiti juga sentiasa memantau perkembangan banjir di sekitar kawasan kampus kerana masih ramai pelajar yang menyewa di luar dan kita bimbang mereka terjejas bencana itu," katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, antara kawasan yang sering dilanda banjir ialah Taman Murni Permai, Taman Tanjung Permata dan beberapa taman perumahan di sekitar kawasan tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM