fb fb fb fb fb

Undang-Undang sedia ada mampu tangani isu perpaduan-Ago Dagang

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Kerajaan menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menangani isu yang menggugat perpaduan kaum dan agama di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata individu yang mencetuskan ketegangan kaum boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Namun, beliau menekankan bahawa penguatkuasaan yang telus dan adil tanpa mengira kaum serta agama adalah penting bagi menjamin keharmonian masyarakat.

"Sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu disemak semula bagi tujuan mengekang ucapan kebencian serta perbuatan provokasi berunsur perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat, maka kementerian akan menyokong penuh cadangan tersebut," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, dalam Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai isu seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada pelanggan kaum India, Datuk Aaron memaklumkan bahawa kementerian telah menggerakkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa penjaja terbabit telah tampil memohon maaf dalam satu sesi pertemuan bersama wakil komuniti, pihak polis, dan Jabatan Perpaduan.

Tambahnya, penyelesaian isu ini melalui KRT membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen penyelesaian konflik serta pemelihara keharmonian di peringkat komuniti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD