IPOH, 3 April- UMNO Perak bersedia dengan sebarang kemungkinan jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang dan Parlimen Kuala Kangsar diadakan susulan dua kawasan disandang wakil rakyat BERSATU itu menyokong Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan Speaker Negeri.
"Pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan sama ada mereka itu terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti ataupun tidak.
"Sekiranya Speaker membuat keputusan mereka terkesan kepada Akta Anti Lompat Parti, bermakna mereka gugur. Jadi kalau gugur, ada enam PRK perlu dibuat termasuk dua di Perak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bungkusan juadah hari raya kepada pasukan badan beruniform di sini.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang membolehkan BERSATU mengambil langkah mengosongkan enam kerusi Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).