KANGAR, 19 Februari- UMNO Bahagian Kangar akan terus memperhebat Ziarah BELACare tahun ini.
Ini setelah hampir 500 keluarga disantuni menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut sepanjang tahun lalu di kawasan Parlimen Kangar melibatkan kesemua lima kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kayang, Bintong, Indera Kayangan, Sena dan Guar Sanji.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya memaklumkan, walaupun tiada sasaran khusus untuk tahun ini, namun pelaksanaan yang memberi impak besar kepada setiap keluarga itu akan diperluas dengan tidak kurang 600 atau lebih penerima bakal disantuni.
Beliau berkata, pelaksanaannya akan dijalankan secara mingguan dengan menyantuni keluarga asnaf, sakit kronik dan ditimpa bencana akibat bencana alam atau kemalangan serta berkaitan bidang pendidikan.
Setiap keluarga terlibat yang memerlukan bantuan akan dikenal pasti menerusi pelaksanaan Program Prihatin dan Mesra yang akan menjelajah ke seluruh kawasan Parlimen Kangar.
Beliau memaklumkannya pada Program Prihatin dan Mesra di Wang Bintong.
Menerusi Ziarah BELACare, mereka yang disantuni menerima bantuan berupa bakul makanan, wang tunai dan sumbangan lain berdasarkan keperluan termasuk kerusi roda hasil gerak kerja yang dirangka agar masyarakat setempat mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya.
Program Prihatin dan Mesra di Wang Bintong dihadiri lebih 200 penduduk setempat menjadi lokasi ke 13 disinggahi kepimpinan UMNO Bahagian Kangar dengan aktiviti sembang santai serta perkongsian dan soal jawab persoalan berkaitan isu-isu semasa.
.