fb fb fb fb fb

PM seru umat Islam hayati semangat hijrah Nabi Muhammad SAW

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 Julai- Umat Islam di negara ini diseru untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam usaha membebaskan diri daripada budaya syirik, zalim, penindasan dan kejahilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu bagi mendorong setiap insan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik

"Hijrah Nabi SAW itu bermakna pergerakan masyarakat yang dinamik, meninggalkan budaya syirik, zalim, penindasan, kejahilan... sesuatu budaya baharu, negara baru dengan sistem akidah, keyakinan baru, pemikiran baru, budaya baru, sistem kemasyarakatan yang baru.

"(Selain itu) meninggalkan fahaman kabilah yang sempit, fahaman perkauman yang sempit, ketaksuban... tetapi memilih pencerahan, ilmu dan kefahaman," katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Dua tokoh berkenaan ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, Profesor Dr Ali Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

SITI AISHAH MD ISA