
KUALA LUMPUR, 17 Februari – Tarikh berpuasa bagi umat Islam di Malaysia adalah pada Khamis, 19 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447 hijrah.
- Mulakan puasa pada Khamis, 19 Februari 2026 bersamaan 1 Ramadan 1447 hijrah.
- Keputusan ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Raja-Raja.
- Proses rukyah anak bulan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara untuk menentukan permulaan Ramadan.
Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Tan Sri Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Pada 12 Februari lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan dengan 29 Syaaban 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.
Proses melihat anak bulan Ramadan pada petang hari ini melibatkan 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.