fb fb fb fb fb

UM jalin kerjasama lahirkan eksekutif halal kompeten

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menyaksikan penyerahan sumbangan Affin bank sebanyak RM50,000 kepada Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman (tiga dari kiri)/Foto UM

KUALA LUMPUR, 28 Januari –Jabatan Syariah dan Pengurusan (JSP) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) bersama beberapa agensi lain menganjurkan Kursus Halal Eksekutif bagi melahirkan bakat halal kompeten dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menerusi modul disediakan Majlis Profesional Halal (HPB) JAKIM, program tersebut bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran teknikal berkaitan pengurusan industri halal kepada peserta, malah turut menyokong Dasar Halal Negara 2035.

Program julung kali dianjurkan itu melibatkan 50 orang peserta terdiri daripada 42 mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Muamalat dan lapan mahasiswa Sarjana Pengurusan Halal dari Jabatan Syariah dan Pengurusan, APIUM.

Program itu juga bertujuan membantu pelajar asnaf golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan kemahiran baharu sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan JSP.

“Ini adalah kali pertama program ini diadakan, dan ia melibatkan tajaan bernilai RM50,000.00 dari Affin Islamic Bank melalui pengagihan zakat. Kerjasama ini jelas menunjukkan komitmen pihak korporat dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” menurut kenyataan universiti itu.

“Kursus ini sangat membantu dalam menambahbaik persediaan saya sebagai seorang graduan kelak, kerana membuka peluang kepada saya untuk menceburi bidang kerjaya sebagai seorang eksekutif halal,” kata Insyirah Mohd Zuli, mahasiswa tahun akhir JSP yang juga peserta program.

Sementara itu Pengarah UMHRC, Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif tersebut kerana ia adalah langkah penting dalam membangunkan modal insan berkualiti dalam industri halal.

“Kami percaya bahawa dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, peserta akan dapat menyumbang kepada pembangunan industri halal di Malaysia kelak,” jelasnya.

MAT YUNUS BIN SABRI