ARAU, 19 Jun- Lebih 100 orang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan dan golongan asnaf terpilih menerima agihan daging sempena Program Semarak Qurban 2024, anjuran UiTM Cawangan Perlis.
Selain itu, daging korban hasil sembelihan lima ekor lembu turut diedarkan kepada lebih 130 orang sukarelawan yang hadir bergotong royong menyembelih,melapah dan memotong daging korban, manakala sebahagian daripada daging untuk kenduri kampung.
Penyelaras Program Semarak Korban UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam kenyataannya menjelaskan, program korban berkenaan dianjurkan bagi memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti sambil memenuhi tuntutan agama.
Pelaksanaan program korban perdana diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk membantu masyarakat setempat dan memperkukuhkan ikatan silaturahim.
Pengagihan daging korban kepada keluarga kurang berkemampuan dan asnaf membuktikan keprihatinan pihak UiTM Cawangan Perlis untuk bersama-sama berkongsi rezeki dan mengharyati erti pengorbanan untuk membantu antara satu sama lain.
Program turut dihadiri pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis, Ketua- Ketua Unit, staf dan pelajar UiTM Cawangan Perlis.