TANJUNG MALIM, 27 November- Ucapan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 22 November lalu, tular di media sosial apabila mendapat 366,000 tontonan menerusi aplikasi TikTok.
UPSI dalam kenyataan berkata ucapan Prof Datuk Dr Md Amin dalam Bahasa Melayu tersebut menyentuh jiwa, berseni, serta sarat dengan nasihat kepada semua graduan yang hadir di Dewan Tuanku Canselor berjaya mencuri perhatian dan mendapat pujian ramai.
Antara yang disampaikan beliau, “Berpesan pesan dengan penuh ingatan, Berpesan pesan dengan penuh kesedaran, Berpesan pesan dengan penuh kecintaan".
Beliau berpesan agar graduan tidak melupakan pengorbanan dua insan tersayang kerana insan ini sanggup bergadai bergolok agar dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka. Ibaratkan biar miskin, biar papa, asalkan anak-anak dapat menempah kejayaan.
“Ibu dalam sepi menguntum doa, dalam sedih diusap air matanya, dalam perih ditadah tangannya. Mendoakan anak dirahmati Azzawajalla, ayah takkan kau tampak titis tangisnya, yang kau perasan mungkin bengisnya. Tak ingin anak mengulangi silapnya, agar kau berjaya dan berjasa, lebih dari ada dirinya.”
“Adik-adik Graduan, takkan kau sedari pengorbanan mereka ini, hinggalah kau alami suatu hari nanti. Betapa mulianya pengorbanan insan insani, yang Allah amanahkan menjadi wali. Kepada anak yang sentiasa mereka sayangi, dari dunia hingga ke alam kekal abadi.
“Terima kasih wahai sang ibu, sekalung tahniah wahai sang ayah kerana hari ini hari yang terlalu amat bermakna buat keduamu.
Ucapan beliau yang menyentuh hati hadirin dan penonton “facebook live” mendapat komen daripada netizen sehingga mencecah ratusan ribu. Komen-komen yang diberikan memberikan impak yang baik bahkan menyentuh hati para netizen setelah mendengar ucapan tersebut.
Dalam pada itu, Prof Datuk Dr Md Amin mengucapkan terima kasih atas komen-komen oleh netizen.
Beliau mengakui sebagai Naib Canselor, beliau suka mengingatkan graduan sentiasa menjaga nama baik UPSI sebagai tempat mereka menimba ilmu dan mengenang pengorbanan ibu bapa.
Pada setiap sesi, ucapan beliau sentiasa melahirkan perasaan bangga terhadap mahasiswa UPSI yang memperlihatkan pencapaian luar biasa di dalam dan luar negara.