fb fb fb fb fb

TYT, Premier Sarawak dijangka sertai Harmony Walk pada 29 Jun ini

Datuk Douglas mengetuai delegasi UNIFOR membuat kunjungan hormat ke atas TYT Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 15 Jun- Lebih 5,000 warga Sarawak dijangka akan menyertai Harmony Walk yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas, Harmony Walk dijadualkan berlangsung pada 29 Jun ini membabitkan laluan sejauh dua kilometer, bermula dan tamat di Padang Merdeka.

Acara yang melibatkan lebih 10 pertubuhan pelbagai agama dan kepercayaan itu turut akan disertai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Kami menjangkakan 5,000 peserta yang akan sertai Harmony Walk terdiri daripada segenap lapisan masyarakat tidak kira kaum atau agama,"katanya.

Beliau ditemui media selepas mewakili Unit Ehwal Agama-Agama Lain, UNIFOR Jabatan Premier Sarawak yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Dr Wan Junaidi di Astana Negeri di Kuching.

Terdahulu rombongan Datuk Douglas turut menjemput Tun Wan Junaidi dan Isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi untuk menghadiri Makan Malam Gawai Dayak atau Ngiling Bidai Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 22 Jun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijangka hadir untuk bersama memeriahkan sambutan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE