fb fb fb fb fb

TVET: Lebih 74% MBPK Kedah peroleh pekerjaan

Foto RTM

SIK, 12 September- Kemenjadian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) khususnya menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kedah menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan berkaitan serta pihak industri bagi meningkatkan tahap keupayaan dan kebolehpasaran MBPK.

"Berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, lebih 74 peratus MBPK di Kedah berjaya memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor selepas menamatkan pengajian masing-masing.
 
"Antara bidang kerjaya termasuk sektor pembuatan, automotif, jahitan dan pertanian," katanya di sini.

Ismail berkata, ketika ini terdapat 9,073 MBPK yang sedang mengikuti sesi persekolahan di 226 buah sekolah di negeri itu.
 
Ia melibatkan 128 murid prasekolah, 5,147 murid sekolah rendah dan 3,798 murid sekolah menengah.

Terdahulu, Ismail merasmikan Jom Jelajah Ilmu MBPK Negeri Kedah di bawah Program Sayangi Anak Kedah (SAYAK).

Program Jom Jelajah Ilmu MBPK Negeri Kedah selama dua hari itu melibatkan 25 murid terpilih.

Murid yang terpilih terdiri daripada pelajar yang aktif dan berpotensi dalam bidang sukan, kemahiran, dan mempunyai sahsiah serta daya kepimpinan yang baik.

Program bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran murid berkeperluan khas di Sekolah Pendidikan Khas (SPK); Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI); Program Pendidikan Inklusif (PPI) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari atau mendapat pekerjaan.                   
 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM