
KUALA LUMPUR, 8 April — Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya semakin menjadi laluan kerjaya utama dalam kalangan lepasan sekolah di negara ini.
- Permohonan melalui portal UP TVET meningkat kepada kira-kira 209,000, lebih dari dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
- Kadar kebolehpasaran graduan TVET kekal tinggi, contohnya JTM 95.5%, KBS 96.41%, KKDW dan MARA antara 96.5 hingga 98.2%.
- Persepsi lama terhadap TVET berubah susulan peningkatan permohonan lepasan SPM, menunjukkan pilihan semakin diterima pelajar.
- Permohonan UP TVET dibuka 1 April hingga 8 Mei 2026, menawarkan kira-kira 20,000 tempat di 314 institusi, hampir 1,000 program.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Dalila Sharingat berkata, persepsi lama terhadap TVET semakin berubah susulan peningkatan ketara permohonan dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, permohonan melalui portal UP TVET meningkat kepada kira-kira 209,000 tahun lalu berbanding sekitar 90,000 pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan lebih sekali ganda ini menunjukkan TVET kini menjadi pilihan utama pelajar, bukan lagi sekadar alternatif,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau turut memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan TVET kekal tinggi, mencerminkan permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.
Katanya, institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia mencatat kebolehpasaran 95.5 peratus, diikuti institusi Kementerian Belia dan Sukan sebanyak 96.41 peratus, manakala institusi di bawah KKDW serta MARA masing-masing merekodkan antara 96.5 hingga 98.2 peratus.
“Ini membuktikan lepasan TVET bersedia memasuki pasaran kerja sebaik tamat latihan,” katanya.
Sehubungan itu, lepasan SPM disaran merebut peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET yang menawarkan pelbagai laluan kerjaya serta kemahiran praktikal selari dengan keperluan industri.
Permohonan melalui portal UP TVET dibuka bermula 1 April hingga 8 Mei 2026, melibatkan kira-kira 20,000 tempat di 314 institusi dengan hampir 1,000 program pengajian ditawarkan.