JOHOR BAHRU, 7 Jun- Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, bersama lebih 4,000 jemaah, pagi tadi.
Ketibaan Baginda pada pukul 8.45 pagi itu diiringi adik-beradik dan kerabat Diraja Johor.
Turut menyambut ketibaan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan barisan Exco.
Solat sunat Aidiladha diimamkan oleh Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Imam Besar Muhammad Bukharuddin Ismail serta turut menyampaikan khutbah bertajuk, “Pengorbanan Agong Nabi Ibrahim AS".
Tunku Mahkota Ismail turut berkenan meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah, sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira pukul 9.20 pagi.