fb fb fb fb fb

Tunku Mahkota Ismail melancarkan pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru

PM, MB Johor dan Menteri Pengangkutan ketika menantikan ketibaan Pemangku Sultan Johor di Stesen Kempas Baru, JB / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 11 Disember - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berangkat tiba ke Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru, di sini, pukul 11.50 pagi tadi.

Ketibaan baginda disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tunku Mahkota Ismail melancarkan landasan berkenaan di Stesen Kempas Baru, sekali gus membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sebelum ini berakhir di Kluang, beroperasi sepenuhnya hingga ke Johor Bahru.

PLBEGJB merupakan salah satu daripada inisiatif infrastruktur rel terbesar negara, yang mencatatkan detik bersejarah hari ini.

Projek nasional berskala besar itu direalisasikan melalui kerjasama strategik tiga entiti utama membabitkan Kementerian Pengangkutan (MOT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

PLBEGJB merangkumi jajaran sepanjang 192 kilometer dan melibatkan 11 stesen moden, direka bentuk untuk meningkatkan kapasiti perjalanan, mempercepat operasi rel serta memperkukuh hubungan ekonomi di koridor Johor–Selatan.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN