Tugasan ketika Aidilfitri, satu pengorbanan – anggota PGA

Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) ACP Mohd Hazazi Othman menyerahkan Kuih Raya Aidilfitri Kepada Petugas Op Taring Wawasan Kelantan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Barisan Hadapan Op Taring Wawasan di Martek PGA Pengkalan / BERNAMA

TUMPAT, 16 Mac– Meski sudah terbiasa bertugas setiap kali pada 1 Syawal, namun perasaan sedih untuk tidak dapat turut sama menyambut Aidilfitri bersama keluarga tetap ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tugasan Aidilfitri dianggap pengorbanan anggota PGA demi menjaga keamanan dan keselamatan negara.
  • Sarjan Mohd Khairun berkorban bertugas lebih 10 tahun, menyarung uniform sejak 17 tahun lalu.
  • Penugasan dijalankan mengikut penggiliran 34 hari; Batalion 8 dibenarkan pulang pada Syawal keenam.
  • Seramai 360 anggota Batalion 8 bertugas sepanjang Ramadan dan Syawal, menumpukan usaha cegah penyeludupan dan jenayah sempadan.

Bagi Sarjan Mohd Khairun Naim Ishak bertugas di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Kubor, tugasan pada hari raya dianggap sebagai pengorbanan pasukan beruniform demi keamanan negara.

Ketika menceritakan pengalamannya, Sarjan Mohd Khairun berkata 2026 adalah tahun ke-10 beliau tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama-bersama isteri dan empat orang anak kerana tuntutan tugas yang perlu dilaksanakan.

Katanya, sebaik menyarung pakaian beruniform sejak 17 tahun lalu, dia sudah bersedia menghadapi apa jua keadaan dan turut menerima situasi apabila tidak dapat beraya bersama keluarga.

Katanya, penugasan PGA berdasarkan penggiliran selama 34 hari dan Batalion 8 PGA akan tamat penugasan di sempadan pada Syawal keenam sebelum dia boleh pulang menyambut hari raya bersama keluarga.

“Apabila kerja sebagai anggota PGA dan kami pun tidak boleh mengharapkan cuti.

“Jadi kami kena terima apa jua keadaan sekali pun,” katanya.

Sementara itu, Inspektor Afifah Yacob dari Batalion 8 PGA berkata tahun ini adalah antara pengalaman bertugas pada Aidilfitri sejak menyertai pasukan itu pada 2021.

Mereka berkata demikian ketika ditemui ketika lawatan kerja Ops Taring Wawasan Kelantan serta penyerahan kuih raya di Markas Taktikal (Martek) daripada Timbalan Komander PGA Briged Tenggara, ACP Mohd Hazazi Othman

Dalam pada itu, ACP Mohd Hazazi memaklumkan seramai 360 anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa bertugas sepanjang sepanjang Ramadan dan Syawal bagi menjaga sempadan negara.

Penugasan diteruskan seperti biasa dan pihaknya memfokuskan usaha mencegah kegiatan penyeludupan serta perkara yang menyalahi undang-undang negara.