fb fb fb fb fb

Tuanku Muhriz titah nasib kanak-kanak GISBH dibela

Foto Fail/BERNAMA

SEREMBAN, 11 Oktober- Nasib kanak-kanak bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang diselamatkan di Negeri Sembilan, dibela.

Titah itu disuarakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bersidang di Istana Seri Menanti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Tuanku Muhriz turut menitahkan cadangan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri agar memberikan perhatian sewajarnya.

Perkara itu membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun, yang tidak diambil oleh ibu bapa termasuk memberi pendidikan sempurna.

"Cuma cadangan kepada JKM, supaya yang tidak diambil oleh ibu bapa ini, mereka diberi perhatian khusus supaya mendapat pendidikan perdana."

"Ia penting supaya mereka dapat kembali kepada masyarakat. Di samping itu, mereka yang diambil oleh ibu bapa, juga Tuanku minta supaya sentiasa dipantau dari semasa ke semasa."

"Ia termasuk anak anak ini mendapat pendidikan yang lebih sempurna," kata Datuk Seri Aminuddin menyampaikan titah Tuanku kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV), di sini.

Tambahnya, tiada fatwa baharu ditetapkan berhubung ajaran dan kepercayaan GISBH di negeri tersebut, setakat ini

Sementara itu, pembangunan NSSV merupakan sebahagian kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Ia dirangka bagi pembangunan teknologi yang memberi fokus kepada industri semikonduktor di Negeri Sembilan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM